Polis sedang menyiasat pemilik akaun Facebook Penangkini yang didakwa menyebarkan maklumat palsu berhubung satu kejadian pergaduhan yang berlaku di atas feri pada 12 November lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Farid Al Atrash Wahid berkata, siasatan dilakukan susulan satu laporan yang diterima daripada seorang lelaki yang tidak berpuas hati berhubung laporan yang dibuat oleh pemilik akaun Facebook terbabit.

Katanya, berdasarkan laporan polis tersebut, individu terbabit mendakwa gambarnya bersama dua lagi individu dimuat naik dilaman sesawang terbabit atas dakwaan mereka ditahan polis berhubung kejadian pergaduhan yang berlaku di atas feri.

Sedangkan, katanya, individu terbabit mendakwa tiada kaitan dalam kejadian pergaduhan itu sebaliknya mereka hadir ke balai polis kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya.

“Kita (ada) siasat satu kes rusuhan di atas feri melibatkan seorang petugas feri yang dipukul oleh beberapa lelaki dan kita siasat di bawah Seksyen 147.

“Kemudian, Penangkini selepas beberapa hari, dia keluarkan berita dalam Facebooknya mengatakan tiga lelaki India telah ditahan kerana terlibat dalam kejadian pergaduhan tersebut.

“Sedangkan tiga lelaki India itu hanya datang ke balai polis untuk buat laporan polis kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya. (Mereka) tiada kaitan dengan kes rusuhan di atas feri itu,” ujar Mior.

Beliau berkata, polis akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan pemilik akaun terbabit untuk siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian pada jam 9.45 malam, 12 November lalu, seorang kru feri berusia 38 tahun cedera di muka dan patah tulang rusuk kiri akibat dipukul oleh sekumpulan lelaki.

Susulan kejadian itu, polis menahan dua pelajar kolej bagi membantu siasatan serta mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai turut terlibat dalam insiden berkenaan.

Mior pada masa yang sama memberi amaran kepada pemilik-pemilik akaun Facebook agar menghentikan penyebaran berita-berita palsu termasuk mendapatkan maklumat daripada sumber yang betul bagi mengelak kekeliruan umum.