Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah dipanggil sekali lagi oleh polis untuk memberi keterangan berkaitan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Najib dipanggil memberi keterangan beberapa hari lalu bagi melengkapkan siasatan berhubung kes berkenaan termasuk rampasan barangan dan wang tunai, baru-baru ini.

Proses mengambil keterangan itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah komersial, Bukit Aman beberapa hari lalu.


“Saya rasa sudah dipanggil, sudah diambil keterangan. Kena periksa dengan Datuk Amar Singh, beberapa hari lepas.

"Banyak lagi perkara-perkara yang harus kita perhalusi ambil keterangan dahulu, saksi, saya ingat dalam masa yang terdekat ini kita akan serah kepada pendakwa raya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Amer Awal dengan Timbalannya Datuk Pahlawan Mohd Dzuraidi Ibrahim di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.

Mengulas status barang rampasan setakat ini hanya satu pihak telah menuntut barangan tersebut iaitu sebuah syarikat dari Lubnan.