SHAH ALAM : Polis Selangor sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian pekerja di sebuah restoran makanan segera di Klang, dekat sini, yang dipercayai dimarahi pelanggan dengan kata-kata kesat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, polis sudah memanggil saksi dan individu terbabit dalam kejadian jam 1.30 tengah hari Sabtu itu untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes itu dipercayai berpunca daripada salah faham ketika mengambil pesanan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 298 dan 509 Kanun Keseksaan, masing-masing kerana melakukan perbuatan dengan niat hendak melukakan perasaan agama seseorang dan mengeluarkan perkataan atau isyarat yang dimaksudkan mengaibkan kehormatan seseorang.

"Dia pelanggan, tidak berpuas hati.. . jadi dia tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan... ada berlaku pertengkaran dan pada masa sama dirakam oleh penghantar makanan

"Tercetus perbalahan mulut sehingga mengeluarkan perkataan yang agak sensitif," katanya di sini, pada Ahad.

Tegasnya, pihaknya akan mempercepatkan proses melengkapkan kertas siasatan sebelum dibawa kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan seterusnya.