Polis menahan 17 lagi individu dalam dua tangkapan berasingan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan kumpulan kongsi gelap Geng 24 di sekitar Klang pada Jumaat.

Tangkapan itu menjadikan jumlah keseluruhan individu yang diberkas polis berkaitan kumpulan kongsi gelap itu ialah 35 orang setakat ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat berkata mereka yang ditahan berusia antara 15 hingga 17 tahun dengan 16 daripadanya merupakan pelajar sekolah di sekitar Klang dan seorang lagi sudah tidak bersekolah.

Dalam tangkapan pertama, 11 remaja yang ditahan adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Andalas, SMK Shahbandaraya, SMK Kampung Jawa, SMK La Salle dan SMK Methodist ACS, katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadzil berkata kesemua remaja itu direman selama tiga hari sehingga Isnin bagi membantu siasatan.

Dalam tangkapan kedua, dua remaja lelaki ditahan di belakang SMK Simpang Lima, Klang pada 12.50 tengah hari semalam apabila polis peronda terlihat sekumpulan lelaki berkumpul dan membakar mercun sebelum yang lain melarikan diri, kata Fadzil.

Beliau berkata enam remaja dalam tangkapan kedua itu merupakan pelajar SMK La Salle dan SMK Tengku Ampuan Jemaah. Mereka direman empat hari sehingga Selasa ini.

"Sebuah motosikal bernombor plat palsu turut dirampas semasa penahanan berkenaan manakala empat lagi remaja lelaki diberkas malam semalam di sekitar Pandamaran dan Bukit Tinggi," katanya .

Fadzil berkata kedua-dua penahanan dan siasatan kes dijalankan mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA