Polis menahan 516 individu disyaki menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan dalam operasi selama dua minggu di seluruh negara bermula 17 Julai lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata kebanyakan individu yang terlibat menjual akaun mereka ialah penganggur atau suri rumah.

"Mereka ini menjual akaun bank dengan harga serendah RM300 kepada sindiket penipuan. Polis nasihatkan orang ramai untuk tidak terlibat dengan kegiatan tidak bertanggungjawab ini.

"Akaun bank atau kad ATM bukan untuk dijual atau dibeli walau apa jua alasannya," kata beliau kepada pemberita selepas Seminar Trend Terkini Jenayah Komersial di sini, pada Rabu.

Keldai akaun adalah individu yang membenarkan akaun bank mereka digunakan oleh sindiket penipuan untuk tujuan tertentu.

Sementara itu, Mohd Zakaria berkata pihak bank perlu memperketatkan syarat membuka akaun baharu kepada mana-mana individu.

"Kita (polis) kenal pasti individu dengan mudah membuka akaun dan menjualnya kepada orang tidak dikenali dan polis tidak mahu orang salah guna akaun dengan menjualnya kepada sindiket tertentu kerana ia akan menyukarkan proses siasatan," katanya.

JSJK turut mewujudkan sebuah portal di laman web rasmi JSJK, http://ccid.rmp.gov.my./semakmule bagi membantu orang ramai membuat semakan ke atas akaun-akaun bank atau nombor telefon yang mempunyai rekod laporan polis sebelum membuat sebarang transaksi, katanya.

-- BERNAMA