Seramai 88 orang termasuk enam dipercayai pengedar dadah ditahan dalam Operasi Pencegahan Jenayah di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT) di sini, bermula 13 Julai hingga Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah SPT ACP Rusli Mohd Noor berkata dalam operasi itu polis turut menahan dua wanita dan merampas pelbagai dadah termasuk 15 liter air ketum.

"Polis melancarkan operasi mencegah jenayah termasuk mengesan mereka yang terlibat dalam aktiviti dadah di sekitar SPT dan kita juga menggempur beberapa lokasi yang menjadi tumpuan penagih dadah.

"Antara lokasi yang digempur ialah Bukit Mertajam, Seberang Jaya, Penanti, Alma, Permatang Pauh, Bukit Tengah dan Juru," katanya di sini, hari ini.

Katanya enam lelaki yang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah di sekitar SPT ditahan secara berasingan dan polis turut merampas sejumlah dadah bersama mereka.

Rusli berkata daripada jumlah itu lima lelaki ditahan kerana memiliki serta dipercayai menjual air ketum.

"Seramai 73 orang termasuk dua wanita daripada keseluruhan yang ditahan itu adalah penagih dadah dan mereka turut positif bahan terlarang berkenaan," katanya.

Katanya empat lagi lelaki ditahan kerana memang dikehendaki polis berhubung aktiviti pengedaran dadah.

Polis merampas pelbagai dadah antaranya heroin sebanyak 32.63 gram (g), syabu (5.29g) serta ganja 4.33g dan kesemuanya bernilai RM1,630, katanya.

"Semua yang ditahan berusia 16 hingga 58 tahun dan seorang daripadanya adalah pelajar sekolah tingkatan empat manakala selebihnya terdiri daripada lima pekerja swasta, buruh (28 orang), bekerja sendiri (34 orang) dan penganggur 20 orang," katanya.