Polis menahan dua lelaki yang sedang leka memasukkan botol-botol air ketum ke dalam sebuah tong di Kampung Behrang Ulu di sini, petang Khamis.

Kedua-dua suspek yang berusia 32 dan 34 tahun itu ditahan dalam serbuan di kawasan rezab sungai di kampung tersebut kira-kira 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah Muallim, Supt Wan Kamarul Azran Wan Yusuf berkata, apabila sampai di tempat kejadian, anggota polis melihat dua lelaki sedang memasukkan botol-botol minuman ke dalam sebuah tong warna oren.

"Pemeriksaan ke atas sebuah tong berpenutup berwarna oren berhampiran kedua-dua suspek mendapati dalamnya terdapat 30 botol plastik minuman berisipadu 1.5 liter setiap botol berisi cecair disyaki air ketum," katanya di sini.


Keadaan ketika kedua-dua suspek ditahan.

Menurutnya, hasil saringan awal air kencing terhadap suspek berusia 32 tahun mendapati positif dadah methamphetamine manakala rakannya didapati negatif.

Suspek pertama juga mempunyai satu rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala rakannya tiada rekod.

Menurut Wan Kamarul Azran, suspek juga dikatakan menanam lebih kurang 200 pokok dan memproses daun ketum di lokasi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.