Polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes mencuri beg tangan seorang wanita di sebuah pasar raya di Medan Raya yang tular di media sosial petang ini.

Ketua Polis Daerah Bintulu Supt Zulkipli Suhaili berkata, suspek pertama berusia 27 ditangkap oleh orang awam di lokasi kejadian setelah mangsa seorang wanita berusia 56 tahun menjerit meminta bantuan sejurus selepas suspek mencuri beg mangsa di atas meja makan di pasar raya berkenaan.

"Suspek melepas beg tangan mangsa semasa melarikan diri sebelum berjaya ditangkap oleh orang awam manakala suspek kedua yang berusia 27 tahun juga berjaya melarikan diri menggunakan motosikal," katanya dalam satu kenyataan malam tadi sambil menyatakan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, polis telah menerima panggilan pukul 3.45 petang dan terus bergegas ke lokasi kejadian untuk menahan suspek pertama manakala rakan suspek telah menyerahkan diri di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu selepas kejadian itu.

Video salah seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam kes itu tular di Facebook dan WhatsApp petang ini memandangkan ianya berlaku di sebuah pasar raya popular di sini dan dilakukan ketika mangsa sedang makan bersama dengan suami serta anaknya di medan selera di dalam pasar raya itu.