Polis menahan enam penagih dadah dan merampas 8.71 gram heroin dan syabu dalam satu operasi di ladang kelapa sawit Fasa 9, Felcra Changkat Lada di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Mohamad Zainal Abdullah berkata dalam serbuan kira-kira 11.30 pagi, kesemua suspek yang berumur dalam lingkungan di antara 32 hingga 39 tahun itu didapati sedang menagih dadah.

"Hasil pemeriksaan mendapati empat daripada mereka memiliki 8.60 gram heroin dan 0.11 gram syabu yang diisi dalam beg plastik lut sinar yang ditemui di dalam beg, poket baju jaket dan kotak rokok selain wang tunai RM198," katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.

Ujian air kencing juga mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis morphine dan masing-masing ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

"Dua lagi lelaki yang positif ganja ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 dan mereka diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan untuk tindakan lanjut," katanya.

Dalam kes berasingan, Mohamad Zainal berkata polis menahan seorang lelaki berumur 31 tahun kira-kira 8 pagi di tepi jalan di kawasan Bota dipercayai terlibat kegiatan pecah rumah di beberapa lokasi di Bota.

"Hasil siasatan awal mendapati lelaki itu mengaku melakukan pecah rumah di kawasan Kampung Lambor Kanan dan terdapat tiga laporan polis berkenaan kes pecah rumah yang melibatkan suspek,"katanya.

Beliau berkata suspek dipercayai melakukan kegiatan itu secara bersendirian dan barangan yang dicurinya dijual di sebuah kedai di Ayer Tawar dengan menggunakan nama dan kad pengenalan bapanya.

"Jualan terbaharu pada 22 April lepas di sebuah kedai emas dengan hasil jualan berjumlah RM300.

Suspek menggunakan duit jualan itu untuk perbelanjaan harian termasuk membeli baju manakala selebihnya membeli syabu," katanya sambil menambah kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah. -- BERNAMA