Polis Johor menahan seorang lelaki berusia 26 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes dera seorang kanak-kanak sehingga melecur tahap dua di bahagian punggungnya ketika berada di bawah jagaan guru di sebuah pusat tuisyen.

Lelaki berkenaan merupakan pembantu kepada guru di sebuah pusat tuisyen di Skudai yang didakwa mendera kanak-kanak terbabit.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, usaha kini sedang giat dijalankan bagi mengesan suspek dan beberapa lagi guru di pusat tuisyen berkenaan.

Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Menurut laporan, kanak-kanak itu mendakwa didera oleh guru tuisyennya yang merotan punggungnya hingga meninggalkan kesan.

Punggung mangsa kemudiannyadidakwa telah ditekap dengan cawan plastik, kaca dan kuali yang direndam dengan air panas bertujuan untuk menghilangkan kesan rotan.

Kejadian terbongkar apabila mangsa yang tinggal di pusat tuisyen berkenaan sejak dua minggu lalu melarikan diri dengan memanjat pagar dan meminta bantuan jiran, petang semalam.

Kakak mangsa kemudiannya membawa mangsa ke klinik swasta untuk rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah selain turut membuat laporan polis malam tadi.