Kerana cuba memberitahu seorang pemandu ada kucing di belakang keretanya, seorang pengawal keselamatan sebuah pasar raya di Skudai dekat sini, ditumbuk lelaki itu dalam satu kejadian bulan lepas.

Suspek bagaimanapun berjaya ditahan polis di Taman Selesa Jaya, Nusa Bestari, dekat sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Johor Bahru Utara, Supt Fariz Ammar yang mengesahkan perkara itu berkata, suspek yang juga lelaki tempatan berusia 35 tahun ditahan pada 2.30 petang.

Terdahulu, pengawal keselamatan yang kena tumbuk itu membuat laporan polis selepas kejadian pada 6.26 petang 28 Okt.

Menurut Fariz, kejadian dikatakan berpunca daripada tindakan mangsa yang berusia 36 tahun cuba memberitahu suspek bahawa ada seekor kucing di belakang kereta Perodua Myvi yang dipandunya.

Namun, suspek enggan mempercayainya malah sebaliknya menuduh mangsa menipu sehingga berlaku pertengkaran antara mereka sebelum suspek bertindak menolak dan menumbuk mangsa di bahagian pipi kiri sebelum beredar.

Klip video kejadian itu tular di laman media sosial sejak dua hari lepas.

Fariz berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

-- BERNAMA