Polis menahan lima suspek disyaki terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah di Tasek Gelugor di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor dilaporkan berkata tangkapan tersebut dibuat kira-kira 4 petang oleh sekumpulan anggota polis di sebuah rumah di Jalan Lahar Yooi, Kampung Seberang Tok Dooi.

"Suspek ditahan itu terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berumur antara 23 dan 46 tahun," katanya menurut laporan Bernama, di sini, malam tadi.

Beliau berkata hasil pemeriksaan dalam rumah itu menjumpai dadah dipercayai jenis heroin dan syabu.

"Hasil siasatan mendapati dadah dirampas itu untuk dijual di kawasan Tasek Gelugor dengan keseluruhan barangan itu dianggarkan bernilai RM1,025," beliau dipetik berkata.

Noorzainy berkata, kesemua suspek juga didapati positif dadah dan kini direman tujuh hari sehingga 17 Dis untuk siasatan lanjut.