Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan lima suspek warga Myanmar ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes menculik dan membunuh dua warga Bangladesh di Genting Highlands, Pahang, bulan lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata dalam kejadian itu lima suspek berkenaan dipercayai telah menculik lalu membunuh mangsa sebelum mencampakkan mayat mereka ke dalam sebuah gaung.

"Apabila suspek tidak dapat wang tebusan seperti yang diharapkan, mangsa dibawa ke hutan sebelum membunuh kedua-duanya dan mencampak mayat mereka ke dalam gaung.

"Motif penculikan itu untuk mendapatkan wang tebusan daripada kedua-dua mangsa," katanya dalam sidang media sempena Latihan Kebakaran Peringkat Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Menara 1, di sini.

Khalid bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

Berikutan itu, Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohd Mansor Mohd Noor ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya akan mengadakan satu sidang media khas yang memperincikan maklumat serta penahanan suspek berkaitan kes itu 5.30 petang esok.

Terdahulu, satu sesi latihan kebakaran diadakan di Menara 1, Bukit Aman hari ini pada pukul 9.30 pagi tadi, bagi menunjukkan keprihatinan PDRM terhadap pentingnya warga PDRM mendapat pengetahuan asas mengenai aspek keselamatan kebakaran di pejabat.

Susulan itu, PDRM akan bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk melatih anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) mengendalikan 'meriam air' jika berlaku kebakaran.

"FRU akan menjadi respons pertama dalam sebarang kecemasan terutamanya kebakaran dalam kompleks PDRM seperti kompleks FRU, Maktab PDRM dan Pasukan Gerakan Am di Cheras.

"Selain 'meriam air' digunakan ketika demonstrasi haram ia juga boleh digunakan pada waktu kecemasan untuk memadam kebakaran, pihak bomba sudah menyatakan kesediaan mereka untuk melatih anggota FRU," katanya.

Khalid berkata perbincangan lanjut mengenai kerjasama itu sedang dilakukan dengan bomba.