Pemilik berdaftar kenderaan utiliti sukan (SUV) yang menyebabkan kemalangan maut di kilometer 190.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan hingga mengorbankan tiga warga Myanmar semalam, berjaya ditahan di Taman Pelangi, Kampar.

Ekoran penahanan suspek pertama yang merupakan warga tempatan pada petang Ahad, polis kemudiannya menahan seorang warga Myanmar berusia 30-an di Sungai Siput Selatan pada hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, berdasarkan hasil siasatan, polis percaya nama lelaki tempatan itu digunakan untuk membeli kenderaan berkenaan dua tahun lalu.

“Tangkapan pertama telah menyerahkan kereta tersebut kepada seorang lelaki warganegara Myanmar yang dikenali dengan nama panggilan Ah Hong.

“Ah Hong telah memberikan duit sebanyak RM300 sebagai duit belanja kepada tangkapan pertama dan mengambil kereta Nissan X-Trail tersebut,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini pada Isnin.

Menurutnya, polis telah menggandakan usaha memburu Ah Hong yang dipercayai salah seorang daripada dua lelaki yang melarikan diri selepas kemalangan itu.

BACA: Van terbabas di Lebuhraya PLUS, sekurang-kurangnya tiga maut

BACA: Mangsa nahas SUV di Lebuhraya PLUS dipercayai diseludup masuk - Polis

Omar Bakhtiar berkata, berdasarkan siasatan awal, semua mangsa kemalangan berada di sempadan Malaysia - Thailand selama dua malam.

“Mereka kemudiannya menaikj sebuan kenderaan dengan berhimpit-himpit dan apabila di pertengahan jalan, X-Trail ini mengambil dan membawa mereka, menghantar ke destinasi yang kita belum tahu,” ujarnya.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut namun menghadapi sedikit masalah kerana masalah bahasa.

Menurutnya, jurubahasa daripada Kedutaan Myanmar memerlukan masa untuk berkomunikasi kerana mangsa datang daripada pelbagai etnik.

Kes disiasat di bawah Seksyen 26(A) Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)c Akta Imigresen 1959/1963.

Suspek ditahan reman di bawah Seksyen 4 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 mulai 20 Mei hingga 17 Jun.