Polis berjaya menumpaskan satu sindiket dadah yang terdiri daripada tiga sekeluarga dan merampas pelbagai jenis dadah, wang tunai serta kenderaan yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM1.5 juta dalam serbuan di sini, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Terengganu Datuk Roslee Chik berkata dalam serbuan yang dilakukan oleh anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman pada 1.45 pagi di sebuah rumah di Kampung Bukit Kuang di sini, seramai enam sekeluarga yang terdiri daripada ketua keluarga berumur 52 tahun, isterinya (47 tahun), seorang anak lelaki (22 tahun) dan tiga anak perempuan mereka (9 hingga 17 tahun) telah ditahan.

“Pasangan suami isteri dan anak lelaki mereka telah ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam manakala ketiga-tiga anak perempuan yang masih bersekolah dibebaskan oleh pihak mahkamah,” katanya dalam sidang media di IPD Kemaman, di sini pada Isnin.

Katanya, dalam serbuan itu pihak polis turut menjumpai 749 gram syabu dan 10,200 biji pil kuda yang keseluruhannya bernilai RM176,900 di dalam rumah itu.

Antara dadah dan wang tunai milik sindiket yang dirampas oleh Polis pada sidang media oleh Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, 20 Julai, 2020. --fotoBERNAMA

“Dadah tersebut disembunyikan di dalam laci di sebuah bilik. Selain itu, dalam bilik sama, pihak polis turut menjumpai wang tunai bernilai RM321,100. Turut dirampas 14 kenderaan termasuk dua motosikal, sebuah kereta jenis BMW 5 Series dan sebuah trak tunda.

“Siasatan terhadap suspek juga telah membawa kepada serbuan kedua di rumah rakan suspek yang terletak tidak jauh dari rumahnya petang semalam. Bagaimanapun, rakannya itu telah melarikan diri dan polis menjumpai wang tunai RM7,415,” katanya.



Beliau menambah rampasan yang dilakukan itu merupakan yang kedua terbesar di Terengganu pada tahun ini, selepas rampasan bernilai RM1.72 juta dilakukan terhadap satu sindiket, bulan lepas.

Roslee berkata hasil pemeriksaan ketiga-tiga suspek didapati negatif dadah namun ketua keluarga dan anak lelakinya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Katanya, bekalan dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran di Kemaman dan Kuantan, Pahang.

Antara kenderaan milik sindiket yang dirampas oleh Polis pada sidang media oleh Ketua Polis Terengganu Datuk Roslee Chik di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, 20 Julai, 2020. --fotoBERNAMA

Berdasarkan siasatan awal, pihak polis percaya sindiket terbabit telah beroperasi hampir setahun dan saki-baki sindiket itu sedang dikesan.

Katanya, pihak polis juga percaya sindiket itu mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah di Kemaman yang melibatkan nilai rampasan RM1.72 juta itu.

-- BERNAMA