Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak menahan tiga lelaki yang disyaki terbabit dengan kumpulan militan Daish di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan berkata suspek ditahan dalam beberapa serbuan antara 27 Jan hingga 29 Jan lalu dalam operasi sekitar Pahang dan Kuala Lumpur.

Dua daripada yang ditahan adalah warga Malaysia dan seorang warganegara Indonesia.

Turut dirampas pada serbuan itu adalah adalah selaras senjata angin Airsoft dan senjata api shotgun jenis Trusty PM4.

Suspek pertama adalah warganegara Indonesia yang juga pemastautin tetap Malaysia, berusia 37 tahun yang bekerja sebagai pegawai keselamatan di Malaysian Airlines Berhad (MAB) dan telah ditangkap di Kuantan, Pahang pada 27 Jan 2017.

Suspek kedua berusia 32 tahun, bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat swasta dan ditangkap di sekitar Kuantan, Pahang pada 27 Jan 2017. Suspek disyaki anggota kumpulan pengganas Daish yang berhasrat menyertai kumpulan pengganas di Syria.

Suspek ketiga berusia 38 tahun yang tidak bekerja, telah ditangkap di sekitar Kuala Lumpur pada 29 Jan 2017.

“Semasa ditangkap, suspek ketiga mengaku menyokong kumpulan pengganas Daish dan telah membuat ugutan untuk melancarkan serangan bom ke atas Jabatan Mufti Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Kesemua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah bab berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).