Polis menahan tujuh daripada 13 remaja perempuan yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan di tepi padang bandaran di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata kesemua remaja berusia antara 14 dan 17 tahun itu ditahan di Kampung Pisang dan Kampung Panji di sini.

"Kejadian didakwa berpunca apabila pelajar perempuan dari Kampung Pisang membuat tuduhan kesat terhadap pelajar perempuan dari Kampung Panji, kononnya perempuan Kampung Panji 'tidak mempunyai dokumen' dan 'selalu keluar-masuk di hotel'.

"Ekoran tuduhan itu, tujuh pelajar perempuan Kampung Panji mengajak enam pelajar perempuan Kampung Pisang untuk berbincang, namun berlaku pertengkaran mulut seterusnya pergaduhan melibatkan kesemua mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.


Bagaimanapun, Nasri berkata tiada kecederaan serius dilaporkan dalam pergaduhan itu.

"Tujuh pelajar yang ditahan merupakan warga tempatan dan direman hari ini, manakala polis masih mengesan baki enam pelajar lagi," katanya menambah pelajar itu diminta secara sukarela menyerah diri.

Nasri berkata video pergaduhan 13 pelajar perempuan berkenaan turut tular di laman sosial sejak semalam.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Nasri berkata taktik seorang wanita menyembunyikan dadah jenis syabu seberat 126.46 gram dianggarkan bernilai RM10,000, dalam bakul plastik dipercayai untuk diedar di kawasan perkuburan Islam Jalan Tengah Nipah di sini, gagal selepas ditahan polis.

Katanya, wanita Filipina berusia 30-an dan tidak memiliki rekod jenayah lampau itu, ditahan dalam Op Damn Tokan 2.0, pada pukul 2.30 petang semalam.

Selain itu, Nasri berkata pihaknya turut menahan dua lelaki masing-masing bersama 5.10 gram dadah bernilai RM765 dan 5.19 dadah (RM778.50).

"Kedua-dua lelaki ini ditahan di Kampung Sungai Bilis, Jalan Tanjung Labian dan Kampung Merabung, Tungku dekat sini antara 3.30 petang semalam dan 12.30 tengah malam tadi," katanya.

Katanya ketiga-ketiga suspek yang disyaki pengedar dadah itu akan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA