Polis menahan tujuh suspek berusia 16 hingga 18 tahun pada Khamis lepas di sebuah restoran di Jalan Banting, Kuala Langat bagi membantu siasatan kes remaja dua remaja lelaki diserang sekumpulan 10 remaja di sebuah pusat snuker 7 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Azizan Tukiman berkata dalam kejadian pada kira-kira pukul 10 malam di Taman Muhibah, Kuala Langat dekat sini, kedua-dua mangsa yang berusia 17 tahun cedera parah di kepala, kedua-dua kaki dan tangan selepas diserang menggunakan batang besi, rotan dan pisau.

Siasatan awal polis mendapati kumpulan suspek itu pergi ke pusat snuker berkenaan bagi tujuan mencari individu yang didakwa berhutang dengan salah seorang daripada mereka, katanya ketika dihubungi Bernama.

"Mereka (kumpulan itu) percaya individu yang berhutang itu ada di pusat snuker berkenaan.

Mereka bertindak memecahkan pintu pusat snuker berkenaan selepas mendapati ia berkunci dan mula menyerang kedua-dua mangsa, ketika itu terdapat enam lagi pelanggan di dalamnya, kata beliau.

Bagaimanapun siasatan lanjut mendapati mereka telah menyerang orang yang salah manakala mangsa yang sedang menerima rawatan di Hospital Banting kini brada dalam keadaan stabil, katanya.

Katanya kerja mengesan saki-baki mereka yang terlibat sedang giat dijalankan.

Video kejadian itu tular di laman sosial dan dikaitkan dengan pergaduhan antara dua kumpulan kongsi gelap.

Bagaimanapun beliau menafikan pergaduhan itu mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi.

-- BERNAMA