Polis Taiping akan meningkatkan pemeriksaan terhadap mana-mana individu menerusi sekatan jalan raya sebagai usaha membanteras jenayah di jalanan seperti meragut di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Osman Mamat berkata langkah itu perlu bagi mengurangkan jenayah tersebut walaupun kes ragut tidak begitu ketara di daerah ini.

"Kita yakin penjenayah akan menjadi keliru dan risau untuk melakukan jenayah kerana polis berada di mana-mana dengan membuat sekatan jalan raya secara bergerak dan tidak statik dalam usaha mengurangkan jenayah di daerah ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Ketua Polis Daerah Taiping bersama Kariah Masjid Al-Khairiah, Batu 14 sempena Sambutan Hari Polis ke-212 di Masjid Al-Khairiah di Batu Kurau dekat sini pada Sabtu.

Pada program itu, aktiviti seperti gotong-royong membersihkan masjid, tanah perkuburan dan sekolah agama rakyat diadakan yang bertujuan mewujudkan kerjasama polis dengan masyarakat setempat.

Dalam perkembangan lain, Osman berkata jenayah harta benda dan kekerasan menurun sebanyak 11 peratus dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini.

Beliau berkata polis akan melakukan risikan secara berterusan jika mempunyai sebarang maklumat selain menggunakan pendekatan turun padang.

Menurutnya, melalui maklumat yang diberikan masyarakat setempat juga akan membolehkan polis bertindak dengan segera.

"Kita minta masyarakat tidak takut untuk memberikan maklumat dalam usaha polis menjalinkan hubungan dengan masyarakat di daerah ini bagi mengurangkan kejadian jenayah," katanya.

-- BERNAMA