Polis memberkas seorang lelaki dan merampas lima senjata api serta satu senapang panah dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Enstek, Nilai, dekat sini semalam.

Menurut jurucakap polis, serbuan pukul 11 pagi itu pada asalnya berhubung narkotik namun pemeriksaan oleh pasukan polis daripada bahagian narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai di rumah berkenaan, menemukan dua laras senapang patah, dua laras mesingan, sepucuk pistol dan satu senapang panah.
"Polis juga menemui beberapa butir peluru hidup," katanya di sini hari ini.

Katanya polis juga menemui sekotak rokok mengandungi dadah jenis syabu dipercayai milik lelaki tempatan berusia 35 tahun itu.

Menurutnya polis sedang menyiasat motif lelaki itu menyimpan senjata terbabit.

"Kita juga sedang menyiasat sekiranya ada individu lain yang terlibat selain kaitan suspek dengan kes jenayah di negeri ini," katanya.

Katanya suspek kini ditahan reman selama seminggu bermula semalam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat).

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri Supt Baharom Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian.