Polis Terengganu berjaya menahan 13 suspek berumur 14 hingga 25 tahun daripada Geng Shahrul dan Geng Acik yang aktif menyamun pekerja asing di Kemaman, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP Fazlisyam Abdul Majid berkata suspek terdiri dari 12 lelaki termasuk remaja berumur 14 tahun yang masih bersekolah dan seorang remaja perempuan berumur 16 tahun yang tidak lagi bersekolah.

"Lima daripada suspek adalah daripada 'Geng Shahrul' dan lapan lagi 'Geng Achik' yang kedua-dua kumpulan ini mempunyai hubung kait dengan kes samun warga asing yang bekerja di Kemaman," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, pada Khamis.

Katanya modus operandi suspek adalah pergi ke rumah kongsi pada waktu malam dan menyamar sebagai anggota polis untuk membuat pemeriksaan sebelum menyamun pekerja asing dengan menggunakan senjata.

Kesemua suspek berasal dari daerah Kemaman dan lima daripada mereka didapati positif dadah, katanya.

Fazlisyam berkata setakat ini 17 pekerja asing telah menjadi mangsa dan melibatkan kerugian 19 unit telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM10,000 daripada lima kes yang telah dikenal pasti.

Polis turut merampas 16 telefon bimbit pelbagai jenama, tiga bilah parang, satu buku lima, tiga batang kayu, 14 keping pelbagai mata wang asing, tiga buah motosikal dan sebuah kereta susulan penahanan suspek, katanya.

Beliau berkata polis percaya kedua-dua geng itu diketuai oleh suspek yang berumur 25 tahun yang juga dikehendaki polis kerana mempunyai dua rekod jenayah kes curi kenderaan.

Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan, katanya.

Dalam perkembangan lain, Fazlisyam berkata polis sedang mengesan Erwady Sapiet @ Shafai, 35, beralamat di Lot 108 Jalan Pantai, Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut, Besut bagi membantu siasatan berkenaan kes ugutan dan jenayah kekerasan di Daerah Besut.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat tentang lelaki ini boleh menghubungi ASP Mohd Faizal Mohd Salleh di talian 012-6747417 @ 096354814 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.

-- BERNAMA