Polis memaklumkan menerima laporan berhubung pencemaran di Sungai Buah yang memaksa penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih, punca masalah bekalan air bersih yang dihadapi sebahagian besar penduduk Selangor.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, laporan tersebut melibatkan kes kemalangan lori tangki yang membawa muatan minyak sawit di kawasan tersebut serta dakwaan sabotaj yang dilakukan pihak tertentu.

“Ya, kami ada terima laporan dan antara punca pencemaran adalah kemalangan melibatkan sebuah lori tangki yang membawa sejenis bahan kimia.

"Itu adalah salah satu puncanya dan kami juga bekerjasama dengan Jabatan Kimia untuk mengenal pasti sebab-sebab lain punca pencemaran sungai itu,” katanya selepas menyempurnakan program ‘Strategising Measures to Combat Serious Crimes’ di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan semua pihak untuk tidak membuat spekulasi dan konklusi awal berhubung isu tersebut sehingga siasatan selesai dijalankan.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan telah membuat laporan polis di bawah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berhubung dakwaannya yang mengatakan penutupan LRA Sungai Semenyih berpunca daripada pencemaran akibat tindakan sabotaj.

Azmin mendakwa bahawa tindakan itu didalangi Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Penutupan tiga kali LRA tersebut dalam tempoh masa lebih kurang sebulan, iaitu 22 September, 4 Oktober dan 23 Oktober telah membebankan kira-kira 1.6 juta pengguna Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling.