Polis mengesahkan ada menerima laporan berhubung kes samun membabitkan dua wanita di Jalan Terasek, Bangsar di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan semasa samun.

Menurutnya, pengadu merupakan seorang penuntut universiti warga Bangladesh berusia 23 tahun.

Katanya, pengadu tidak cedera dalam kejadian itu namun rakannya, seorang wanita warga India yang juga penuntut universiti berusia 29 tahun cedera di bahagian bawah dagu.

"Kejadian berlaku ketika kedua-dua mereka berjalan kaki dalam perjalanan pulang ke rumah yang terletak di Jalan Terasek 3, Bangsar Baru selepas menjamu selera di sebuah restoran berhampiran.

"Seorang lelaki tidak dikenali tiba-tiba keluar dari celah kenderaan di tempat parkir bertindak peluk rakan pengadu dari arah belakang dan letak pisau di bawah dagu pelajar itu hingga cedera. Suspek kemudian minta pengadu dan rakannya serahkan barang berharga.

"Suspek bertindak melarikan diri selepas kedua-dua mangsa melakukan perkara sama,"katanya.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menaiki Grab dan dirawat sebagai pesakit luar.

Siasatan berhubung kejadian masih diteruskan.

BACA: 'Dah berlumuran darah pun seorang tak nak tolong'

Terdahulu Sinar Harian melaporkan malang bagi seorang wanita apabila tiada seorang pun jirannya yang menghulurkan pertolongan apabila dia berlumuran darah akibat cedera ditikam seorang lelaki.

Keadaan wanita yang ditikam di leher dalam kejadian kira-kira jam 1.45 pagi di Jalan Terasek, Bangsar, di sini, itu tular selepas rakannya memuat naik status dan sekeping gambar wanita berlumuran darah di Facebook.