Pihak berkuasa tiada pilihan selain daripada mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang tidak mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

Peringatan itu dibuat Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menegaskan, sekiranya pematuhan ini tidak meningkat pada akhirnya polis terpaksa menggunakan tindakan lebih tegas.

Merujuk pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, Ismail Sabri berkata, hanya 60 peratus rakyat Malaysia yang mematuhi arahan tersebut.

“Saya rasa perkara ini (tindakan tegas) tidak perlu dilakukan jika pematuhannya meningkat dari semasa ke semasa malah PDRM (Polis Diraja Malaysia) telah mengarahkan Ketua-Ketua Polis untuk bertindak dengan membuat pengumuman dan hebahan pada peringkat awal.

“Semalam (Rabu) sebanyak 504 sekatan jalan raya diadakan di seluruh negara dengan 6,135 kenderaan telah diperiksa dan setakat ini pihak polis hanya menasihati,” katanya dalam sidang media pada Khamis.
BACA: Polis Kuala Lumpur mula operasi kuat kuasa Perintah Kawalan Pergerakan


Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Jabatan Penerangan juga turut membuat hebahan meningatkan masyarakat tentang keperluan untuk berada di rumah.

“Walaupun pihak kerajaan benarkan rakyat membeli barangan keperluan saya harap cuba jarakkan diri apabila berada di kawasan ramai orang seperti di pasar atau ketika membeli makan dan jangan membawa keluarga bersama serta anak kecil seperti dimaklumkan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia).

“Saya harap rakyat mematuhi perintah dikeluarkan, tujuan perintah ini bukan untuk susahkan rakyat tetapi untuk menjaga kesihatan dan juga nyawa kerana daripada laporan KKM setiap hari kes baharu bertambah.

“Kini terdapat dua kematian dilaporkan dan KKM memaklumkan kes COVID-19 akan terus meningkat sebab itu kerajaan memperkenalkan larangan ini untuk menjaga keselamatan rakyat,” jelas beliau.