Polis Thai menumpaskan cubaan oleh sindiket dadah untuk membawa sejumlah besar dadah sintetik dianggarkan bernilai sekitar 929 juta Baht (kira-kira RM116 juta) ke wilayah selatan untuk dieksport semula ke negara ketiga.

Dalam lima serbuan berasingan di wilayah Nakhon Sawan, utara Thailand, sejak 14 Nov sehingga dua hari lepas membabitkan penahanan 10 lelaki tempatan, pihak berkuasa merampas 4.09 juta pil 'Yaba' (crazy), 50kg 'Ice' (crystal methamphetamine) dan 50kg Ketamine.

Komander Kawasan Tiga Bahagian Pencegahan Narkotik (NSB) Mej Jen Puttipong Petkamnerd yang mendedahkan butiran ini kepada media, bagaimanapun, enggan menyatakan nama negara ketiga itu.

Beliau berkata sebahagian besar daripada dadah yang dirampas dalam serbuan itu dimasukkan ke dalam karung yang boleh dibawa seperti sebuah beg galas, dengan setiap karung berisi kira-kira 200,000 biji pil dadah, seberat kira-kira 30 kg.

Katanya sindiket dadah itu menggunakan kaedah licik untuk menyeludup dadah ke Thailand dari negara jiran dan membawanya dalam lingkungan negara ini untuk mengaburi pihak berkuasa daripada aktiviti haram mereka.

Antara kaedah yang semakin popular sejak akhir-akhir ini melibatkan dadah yang disembunyikan di dalam trak atau lori membawa produk pertanian.

Dalam satu daripada operasi yang diadakan baru-baru ini, pihak berkuasa, menurut Puttipong, menahan sebuah trak pikap yang kelihatan mencurigakan dan merampas 400,000 pil 'Yaba' yang dibungkus di dalam beberapa guni baja dan disembunyikan di celah-celah nanas yang dibawa trak terbabit.

Pada Julai, pihak berkuasa Thai merampas lebih 300kg kanabis daripada sebuah lori yang membawa durian di Hatyai.

-- BERNAMA