Dua lelaki Malaysia disyaki mengeluarkan wang bagi pihak sindiket pusat panggilan bantuan palsu ditangkap oleh polis Thai di wilayah Petchaburi di bahagian tengah Thailand pada Jumaat.

Menurut ketua pusat operasi Polis Thai, Maj Jen Surachet Hakpan, polis bertindak pantas dan menahan dua lelaki itu selepas mangsa sindiket itu membuat laporan polis mengenai jenayah berkenaan.

"Dua warga Malaysia ditangkap di sebuah pusat beli belah pada 3.30 petang. Mereka mengaku menerima dua peratus dari semua wang yang dikeluarkan, sebelum memasukkan wang itu menerusi mesin deposit tunai (CDM) ke dalam akaun bank di negara luar," katanya kepada media pada Sabtu.

Berikutan tangkapan itu, polis merampas dua fon bimbit, wang tunai berjumlah 104,640 Baht (RM13,415) dan beberapa dokumen termasuk rekod transaksi bank.

Surachet berkata dua lelaki itu telah pergi ke beberapa wilayah di Thailand termasuk Songkla, Phuket, Nakorn Si Thammarat, Surat Thani, Petchaburi dan Prachuabkhirikhan untuk mengeluarkan wang atas arahan sindiket berkenaan.

Menurut beliau, sindiket itu menipu mangsa dengan mendakwa mereka adalah pegawai dari agensi kerajaan dan menuduh mereka terlibat dengan dadah sebelum menyuruh mangsa memeriksa akaun bank mereka.

Beliau berkata mangsa sindiket itu mengalami kerugian hampir sejuta Baht (RM128,000).

-- BERNAMA