Polis narkotik Thailand menahan sebuah lori yang menuju ke Sungai Golok di Narathiwat berhampiran sempadan Thailand-Malaysia dan merampas 300kg ganja untuk dihantar ke Malaysia.

Lori itu ditahan di pusat pemeriksaan keselamatan di Chumphon, selatan Thailand kira-kira 8 malam (waktu tempatan) dua hari lepas dan pemandu warga Thailand tersebut yang diupah untuk mengangkut dadah berkenaan, ditahan.

"Reaksi pemandu tersebut menimbulkan kesangsian kalangan pegawai di pusat pemeriksaan itu, yang telah melakukan pemeriksaan rapi ke atas barangannya dan menemui dadah berkenaan yang disorok dalam karung berisi baja," kata Ketua Biro Pencegahan Narkotik (NSB) Thailand Lt Jen Sommai Kongvisaisuk kepada Bernama hari ini.

Dari Malaysia, ganja itu dijangka diedar ke negara lain, katanya.

Menurut Sommai, pihak berkuasa negara itu juga akan mengeluarkan waran tangkap ke atas seorang lelaki warga negara tersebut dan seorang wanita yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Sepanjang minggu lalu, NSB memintas penghantaran lebih daripada satu tan ganja, katanya dan menambah jumlah rampasan yang besar itu menunjukkan peningkatan dalam permintaannya berikutan semakin banyak negara yang menghalalkan penggunaan dadah.

-- BERNAMA