Dua lelaki warganegara Malaysia yang diberkas pihak berkuasa Thailand dalam serbuan terhadap sindiket penipuan pusat panggilan antarabangsa di sini Oktober lepas, diserah kepada Malaysia pada Jumaat.

Timbalan Ketua Biro Polis Pelancong Mej Jen Surachet Hakpan berkata polis Malaysia meminta polis Thailand menyerahkan lelaki berusia 21 dan 27 tahun itu bagi memudahkan siasatan mereka terhadap sindiket yang dipercayai diketuai seorang lelaki Taiwan.

"Penyerahan dua lelaki Malaysia berkenaan hari ini adalah sebahagian daripada kerjasama antara kami untuk menumpaskan sindiket penipuan pusat panggilan antarabangsa," katanya pada sidang akhbar di sini susulan penyerahan dua lelaki itu kepada pegawai polis Malaysia pada Jumaat.

Beliau berkata polis Malaysia pula menyerahkan dua lelaki warganegara Thailand yang ditangkap dalam serbuan terhadap sindiket penipuan pusat panggilan di Kuala Lumpur bulan lepas kepada polis Thailand empat hari lepas.

Lelaki berkenaan mendakwa mereka diugut akan dipukul sekiranya enggan bekerja dengan sindiket itu.

Surachet berkata dua lelaki yang diserah kepada polis Malaysia pada Jumaat ditangkap dalam serbuan di sebuah unit kodominium sewaan mereka di kawasan Bangna, di pinggir Bangkok dan dalam serbuan pada Oktober tahun lepas itu, polis turut menahan seorang lelaki Taiwan serta lima rakyat Malaysia yang lain.

Empat daripada rakyat Malaysia yang ditangkap itu, termasuk dua wanita, telah dihantar pulang beberapa minggu lepas setelah polis Thailand selesai menjalanai siasatan terhadap mereka.

Seorang daripada wanita itu mendakwa dia menderita akibat dipukul lelaki Taiwan berkenaan dan ditahan di kondominium itu tanpa kerelaannya.

Pihak berkuasa Thailand masih menahan lelaki Taiwan itu dan seorang lagi lelaki Malaysia berumur 19 tahun berasal dari Melaka untuk siasatan lanjut berhubung pembabitan mereka dalam sindiket penipuan pusat panggilan antarabangsa itu.

-- BERNAMA