Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengalu-alukan pihak yang mahu meletakkan ganjaran ke atas ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low yang terbabit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata ia sekali gus membantu PDRM mengesan Jho Low dan mempercepatkan proses siasatan.

"Saya rasa usaha untuk kesan Jho Low bukan saja dilakukan oleh polis tetapi pelbagai pihak dan saya rasa langkah yang diambil pihak yang mahu tawarkan ganjaran (bounty) ini kita alu-alukan kerana matlamat kita untuk dapatkan Jho Low.

"Kalau ada ganjaran pihak tertentu mesti datang ke hadapan untuk membantu kita. Perkara ini kita tiada halangan sekiranya ada pihak berbuat demikian," katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, pada Isnin.

Majlis berkenaan menyaksikan penyerahan tugas Datuk Mazlan Mansor kepada Datuk Noor Azam Jamaludin sebagai Ketua Polis Selangor yang baharu.

Datuk Noor Azam sebelum ini merupakan Ketua Polis Negeri Sembilan.

Sementara itu, Datuk Mazlan Mansor pula akan menjawat jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Ditanya sekiranya pihak polis sendiri boleh memberi ganjaran tersebut, Mohamad Fuzi berkata ia bergantung kepada keadaan.

"Kita bergantung kepada keadaan... kalau kita bagi ganjaran pun kita perlu sediakan wang tunai. Kalau ada keperluan nanti kita akan timbangkan juga," jelas beliau.

PDRM masih aktif berhubung dengan Polis Antarabangsa (INTERPOL) bagi memburu ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low yang terbabit dalam skandal 1MDB.