Polis tidak akan menghalang perhimpunan mega anjuran UMNO dan PAS bagi membantah cadangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dijangka akan diadakan 8 Dis ini.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebaliknya polis hanya akan memantau perhimpunan tersebut bagi memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Setakat ini polis cuma akan memantau situasi.

"Kita juga menasihati mereka supaya tidak melakukan provokasi atau buat masalah lain," katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Muhyiddin berkata, sebagai negara mengamalkan prinsip demokrasi, tidak ada keperluan untuk pihak kerajaan menghalang perhimpunan tersebut, bagaimanapun perlu ada garis batasannya.

Katanya, undang-undang sedia ada juga mencukupi dan ketika ini, beliau yakin suasana masih terkawal.

"Perhimpunan ini di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012. Walaupun kita terbuka, sebagai sebuah negara demokrasi, sesiapa pun bebas menyuarakan pendapat tetapi perlu ada had.

"Kita tidak mahu ada provokasi perkauman dan sentimen agama yang akhirnya mengundang masalah. Tetapi setakat ini, keadaan masih terkawal."