Polis tidak menerima sebarang notis penganjuran ‘Demonstrasi Pro-Redzuan Othman' yang bakal diadakan di pintu utama Universiti Malaya (UM) selepas solat Jumaat pada petang ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Muhammad Azlee Abdullah dalam satu kenyataan ringkasnya melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Astro Awani berkata pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai penganjuran demonstrasi tersebut.

“Namun begitu, kami akan membuat pemantauan dan tindakan akan dilakukan mengikut Akta Perhimpunan Aman (APPA) 2012,” katanya.

Demonstrasi Pro-Redzuan ini dilakukan oleh Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) dan beberapa kumpulan pelajar yang lain sebagai membantah dakwaan kehilangan kebebasan akademik di universiti tersebut berikutan arahan perletakan jawatan pengasas dan pengarah Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) Prof Datuk Dr Mohammed Redzuan Othman.

Prof Datuk Dr Mohammed Redzuan telah diarahkan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengarah UMCEDEL akhir bulan lalu oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Malah, perkhidmatannya sebagai Dekan Fakulti Sains Sosial (FSS) universiti itu turut tidak disambung meskipun telah dicalonkan semula oleh pensyarah di FSS dalam satu pemilihan fakulti.

Difahamkan, arahan letak jawatan dan tidak disambung perkhidmatan dilakukan terhadap Prof Datuk Dr Mohammed disebabkan kajian dan penelitian UMCEDEL berkaitan politik, demokrasi dan pilihan raya berkenaan yang sering mempunyai hubung kait yang positif terhadap pihak pembangkang.

Namun, Naib Canselor UM, Prof Datuk Dr Amin Jalaludin menafikan bahawa terdapatnya tekanan politik daripada KPM sehingga membawa kepada perletakkan jawatan Prof Datuk Dr Mohammed Redzuan.

Serentak dengan itu juga, Mantan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah juga telah meletakkan jawatannya sebagai Felo Penyelidik Kanan UM sebagai menjunjung kebebasan akademik dan solidariti terhadap Prof Datuk Dr Mohammed Redzuan.