Polis tidak menolak kemungkinan kejadian seorang lelaki melepaskan beberapa das tembakan ke arah kediaman seorang lelaki di Jalan Satu Air Itam pada Jumaat malam tadi berpunca daripada perselisihan faham.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, berdasarkan siasatan awal yang dilakukan, polis percaya, wujud perselisihan faham antara mangsa dengan suspek sehingga mendorong suspek bertindak demikian.

Bagaimanapun katanya, polis masih menyiasat punca perselisihan faham yang berlaku antara mereka.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mior Farid berkata, kes itu kini disiasat di bawah seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh yang boleh dipenjara 10 tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 malam itu, seorang lelaki nyaris maut apabila seorang individu bermotosikal yang tidak dikenali melepaskan beberapa das tembakan di hadapan kediamannya.

Ketika kejadian, mangsa yang berusia 50 tahun sedang mencuci halaman rumahnya sebelum didatangi suspek.

Mangsa bagaimanapun bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan dan berkata tidak mengenali suspek yang ketika itu memakai topi keledar.

Ketika kejadian, isteri dan tiga orang anak mangsa turut berada di dalam rumah.