Pihak polis telah menolak permohonan penganjur Perhimpunan Mei 1, 2017 yang ingin mengadakan perhimpunan di ibu negara esok bersempena sambutan Hari Pekerja.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Sukri Kaman, berkata penolakan dibuat berikutan pihak penganjur gagal mengemukakan surat kebenaran pemilik lokasi perhimpunan itu.

“Mereka tidak memenuhi syarat iaitu tidak mendapat kebenaran daripada premis di kawasan Lot 10, iaitu separuh adalah kawasan Lot 10 dan juga separuh adalah hak milik DBKL, jadi permohon sepatutnya menyertakan surat kebenaran premis untuk melaksanakan perhimpunan tersebut.

"Atas alasan tersebut pihak saya tidak mengeluarkan sebarang kelulusan,“ kata Mohd Sukri selepas menghadiri Program Derma Darah Peringkat Daerah Dang Wangi di sini hari ini sempena Hari Polis ke 210.

Beliau turut mengesahkan sudah menerima surat pemberitahuan daripada penganjur berhubung perhimpunan yang dirancang itu pada Selasa lalu.

Satu perbincangan dengan wakil mereka juga sudah diadakan.

Peserta perhimpunan dikatakan merancang untuk berkumpul di hadapan bangunan Stesen Keretapi Tanah Melayu(KTMB) Kuala Lumpur sebelum berarak ke dataran pusat membeli belah Lot 10, di Bukit Bintang.

Sekiranya perhimpunan itu diteruskan penganjur boleh dikenakan tindakan undang-undang yang diperuntukkan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.