Keprihatinan beberapa anggota polis dan seorang penunggang motosikal menyelamatkan seekor monyet yang cedera dilanggar kenderaan di tengah kesesakan lebuh raya, menyebabkan mereka digelar ‘hero’ oleh netizen.

Sebuah rakaman video berdurasi hampir dua minit yang tular di media sosial menunjukkan monyet yang kelihatan lemah dengan kesan darah di badannya, beberapa kali mengelak daripada diangkat oleh anggota polis yang telah menghentikan kereta peronda di tengah jalan bagi melindungi haiwan itu.

Tindakan agresif monyet itu menyebabkan salah seorang anggota polis trafik serba salah untuk mengambilnya kerana bimbang digigit.

Kemudiannya seorang penunggang motosikal lelaki dilihat turut berhenti untuk membantu, dan berjaya menangkap monyet itu, sebelum melintas jalan bagi melepaskannya ke kawasan hutan di sebelah lebuh raya berkenaan.

Ramai netizen meninggalkan komen positif untuk rakaman itu termasuk: @Boqqbonk: Anda hero yang sebenar. Tahniah. Moga Allah S.W.T. merahmati anda semua.

@Momo Yeon: Tahniah abang polis dan rider (penunggang motosikal).. semoga Allah saja dapat membalas jasa baik tuan-tuan.. haiwan pun ada perasaan.

@Fadzil Azzatie: Bro (penunggang motosikal), ramai yang cari kau.. aku terbaca dalam satu group.. kembung la perut kau nanti.. ramai yang cari kau nak belanja makan.

-- BERNAMA