IPOH:Polis berjaya menangkap 22 anggota sindiket Macau Scam yang baru memindahkan operasi mereka dari luar negara ke Perak susulan COVID-19 dalam serbuan di Ipoh pada Selasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya menahan 19 lelaki dan tiga perempuan warga tempatan berusia antara 20 hingga 46 tahun.

Katanya, siasatan awal mendapati, beberapa individu daripada kumpulan itu menjalani latihan selama seminggu di Kemboja pada April 2018 sebelum mula bekerja di Laos.

"Mereka ini pulang ke Malaysia pada Mei 2020 dan pada September 2020, kumpulan ini telah masuk bekerja di sebuah rumah transit di Menglembu, Ipoh.

"Kemudian mereka bekerja di call center telecommunication fraud di Taiping, sehingga awal November 2020.

"Kemudian kumpulan ini telah memulakan kerja di call center telecommunication fraud di Ipoh pada pertengahan Disember tahun ini sehinggalah mereka ditahan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, pada Rabu.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, kumpulan itu dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 29 kes penipuan yang melibatkan kerugian RM360,000 setakat ini.

Katanya, sindiket itu menggunakan aplikasi komunikasi terkini sebagai medium untuk memperdaya mangsa dan menggunakan ‘dark web’ untuk mendapatkan maklumat mengenai mangsa.

Beliau berkata, mereka juga menggunakan aplikasi agensi kerajaan seperti MYEG, portal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendapatkan maklumat mangsa.

"Modus operandi penyamaran yang digunakan oleh sindiket ini adalah menyamar sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan Telekom Malaysia dan pegawai polis dari IPK Terengganu," katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa alat telekomunikasi, kereta, pasport dan kad ATM.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Zainuddin berkata, lebih RM400 juta kerugian direkodkan membabitkan hampir 6,000 kes penipuan termasuk Macau Scam di seluruh negara sejak 2018 hingga 28 Disember 2020.

Katanya, tahun ini sahaja, lebih RM172 juta kerugian dilaporkan, berbanding RM121 juta tahun lalu dan RM139 juta (2018).