KOTA BHARU:Bangkai harimau belang dan harimau kumbang dewasa yang dibekukan selain 10 gading gajah bernilai lebih RM500,000 berjaya dirampas dari sebuah stor di Kampung Bukit Tok Che Dor, Tanah Merah pada Rabu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, susulan penemuan itu, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan oleh pasukan serbuan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah.

"Kita percaya harimau berkenaan terkena jerat yang dipasang pemburu haram sebelum ditembak mati. Kita percaya, sindiket (ini) pemburu orang lain, penyimpan orang lain pembeli orang lain.

"Jadi kami bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan meneruskan operasi ini untuk mengesan ahli lain (sindiket) yang dipercayai terlibat," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Shafien berkata, harimau tersebut dipercayai ditangkap sekitar April lalu dan disimpan dalam bilik sejuk beku.

Katanya, harimau berkenaan dipercayai dijual di pasaran gelap untuk tujuan sebagai makanan eksotik dan perubatan.

Beliau berkata, siasatan dijalankan oleh Perhilitan mengikut Seksyen 68(1)B dan 68(2)C Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta 716).

Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan awal Perhilitan mendapati harimau belang berkenaan dianggarkan bernilai RM300,000  manakala sebatang gading dijual antara harga RM10,000 hingga RM15,000 di pasaran gelap.

Katanya, tangkapan dan rampasan hidupan liar berkenaan ada kaitan dengan kes melibatkan tangkapan seorang lelaki yang ditahan di Kuala Krai kerana yang memiliki selaras senapang AK47 pada 15 Disember lalu.