Kerajaan sewajarnya melihat semula beberapa polisi pendaftaran kewarganegaraan bagi memudahkan proses itu bagi individu yang berdepan kes yang sukar.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata beliau akan bertemu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri untuk membincangkan perkara tersebut.

"Antara contoh masalah yang dihadapi adalah seperti pengambilan anak angkat.

"Ada dalam kalangan mereka yang mengalami masalah untuk mendapatkan sijil kewarganegaraan kerana ibu atau bapanya tidak memiliki kewarganegaraan Malaysia.

"Ini merupakan contoh kes. Ada pelbagai kes lain yang menyukarkan proses pendaftaran kewarganegaraan," kata Dr Subramaniam ketika ditemui selepas menghadiri majlis penutup program Mega MyDaftar di Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya hari ini.

Menurut beliau, sejak program ini dimulakan pada 5 Jun, lebih 2,000 permohonan diterima untuk dinilai.

"Setiap kes akan dilihat secara teliti dan diselesaikan supaya proses mendapatkan kewarganegaraan boleh dilaksanakan bagi setiap pemohon," kata beliau.

Apabila ditanya mengenai dakwaan pembangkang bahawa terdapat puluhan ribu rakyat berketurunan India yang tidak memiliki kewarganegaraan, Dr Subramaniam meminta supaya mereka yang mengadu untuk tampil ke hadapan untuk memulakan proses pendaftaran.

"Bagi saya, sekiranya mereka (mendakwa) bahawa terdapat ramai yang tiada kewarganegaraan, bawalah mereka untuk mendaftar. Dengan ini, baru pihak kami dapat membantu," kata Dr Subramaniam.