Sebuah politeknik bernilai RM180 juta akan dibina di Besut pada tahun ini bagi memenuhi keperluan graduan dalam bidang teknikal khususnya di negeri ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata politeknik tersebut akan dibina di satu kawasan berhampiran Bukit Keluang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera di sini.

Katanya, majlis pecah tanah pembinaan politeknik berkenaan akan dilakukan pada 18 Mac ini dan pembinaannya dijangka mengambil masa tidak melebihi tiga tahun.

"Dengan pembinaan politeknik ini, negeri Terengganu akan mempunyai dua politeknik selain di Dungun yang mampu menampung lebih 1,000 pelajar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Berkelompok Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO DUN Jerteh di Dewan Gong Nering di sini pada Sabtu.

Idris juga berkata kementeriannya meluluskan peruntukan berjumlah RM40 juta bagi pembinaan sebuah perpustakaan baharu di Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) Kampus Tembila, di sini dan membina beberapa bangunan fakulti baharu tahun ini.

Terdahulu, Idris yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO dalam ucapannya meminta masyarakat Melayu terus menyokong parti itu demi memastikan kelangsungan pembangunan untuk agama dan bangsa di negara ini.

Katanya, UMNO adalah parti yang konsisten dengan perjuangannya yang sentiasa membela nasib kaum Melayu hingga mencapai kemajuan dalam setiap aspek daripada dahulu hingga kini.

"Rakyat perlu berfkir sedalam-dalamnya sebelum memilih mana-mana parti bagi menggantikan UMNO kerana kewujudan parti berkenaan hanya lebih kepada ingin mengaut keuntungan yang telah diusahakan oleh UMNO daripada perjuangannya sejak lebih 50 tahun lalu," katanya. -- Bernama