Cladding yang diperbuat daripada polyethylene tidak termasuk dalam senarai bahan binaan yang menepati standard yang diperuntukkan dalam Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Akta tersebut telah menggariskan bahawa hanya bahan binaan yang mematuhi kualiti yang ditetapkan boleh digunakan dalam projek-projek pembinaan.

"Terdapat 13 kategori bahan binaan yang dimasukkan dalam senarai ini. Polyethylene tidak termasuk dalam senarai tersebut," kata jurucakap CIDB, memetik akta tersebut.

Tambahnya, jika seseorang kontraktor didapati bersalah melanggar mana-mana undang-undang lain yang berkaitan, CIDB boleh mengambil tindakan tatatertib.

Tindakan ini termasuk menggantung atau membatalkan pendaftaran kontraktor yang terlibat.

Semalam, bangunan enam tingkat pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) cawangan Petaling Jaya yang terletak di Jalan Gasing terbakar, di mana kira-kira 40 peratus daripada bangunan itu hangus dijilat api.

BACA: Bangunan KWSP PJ guna panel pelindung mudah terbakar, NIOSH gesa siasatan terperinci

TONTON: Inilah punca kebakaran di bangunan KWSP!


Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Soiman Jahid berkata, punca kebakaran itu ialah percikan api yang terkena cladding atau lapisan pelindung yang diperbuat daripada bahan mudah terbakar.

"Punca kebakaran adalah percikan api akibat kerja penyelenggaraan serta cuaca panas dan angin kuat. Cladding yang digunakan juga adalah bahan mudah terbakar seperti yang digunakan di Grenfell Tower di London.

"Bahan cladding ialah polyethylene (polyfoam), bahan yang mudah terbakar. Ia tidak sepatutnya digunakan di mana-mana bangunan, terutamanya di bangunan agensi kerajaan," tegasnya.

Soiman merujuk kepada insiden yang paling mengejutkan di London tahun lepas, kebakaran yang meragut ramai nyawa penghuni Grenfell Tower.

BACA: Korban kebakaran Grenfell Tower meningkat 30 orang

BACA: Peti sejuk jenama Hotpoint punca kebakaran Grenfell Tower London?

Kejadian itu turut mendedahkan, lebih daripada 100 bangunan tinggi di 37 kawasan di negara tersebut juga dilitupi dengan bahan mudah terbakar yang sama.