Pondok kecil berlantai simen, malamnya diterangi satu pelita, harta dapur miliknya cuma satu cerek air, satu periuk, satu pinggan dan satu sudu termasuk satu gelas, dua gelen bekas air untuk mandi dan minum, satu tilam dan satu bantal namun ia adalah syurga bagi nenek Kalsum Abdullah.
Makanan sedap...? Ia bergantung kepada tuah, jika ada rezeki daripada orang kampung merasalah Nek Kalsum makan nasi berlauk ikan jika tiada, perutnya hanya dialas nasi kosong dan daun pucuk ubi yang dipetik dari belakang rumah.
Nek Kalsum memasak nasi menggunakan dapur kayu dalam ruang dapur tanpa simen dan pintu dapur, cuma ditongkat menggunakan kayu dari dalam untuk menutupnya daripada dimasuki binatang berbisa kerana dibelakang pondoknya itu hanya hutan tebal.
Terletak di sebuah perkampungan Islam kawasan Tebedu, Sarawak, tidak jauh dari sempadan Malaysia-Indonesia, Nek Kalsum mendiami rumah itu atas tapak wakaf sejak 10 tahun lalu ketika dia datang dari kampung jiran yang agak jauh selepas kematian suami.

Tebedu
Sukar membayangkan hidup tanpa bekalan air dan elektik apatah lagi terpenjara dalam ruang sempit, namun tidak bagi Nek Kalsum.
Tanpa kad pengenalan dan dokumentasi diri, Nek Kalsum cuma dapat menjawab dia lahir pada tahun 40-an, itupun agak-agak dan satu-satu perkara diingatnya, dia adalah mualaf sejak tahun 90-an dan pernah berkahwin.
Sukar memahami apa dalam benak fikirannya kerana Nek Kalsum terlalu tua, lemah fizikal dan lemah ingatan malah tidak tahu bagaimana kisah silamnya.

Nek Kalsum
Kisah nenek malang ini tular di media sosial awal Ramadan lalu apabila Haji Muhd Salman Abdullah, Pengerusi Persatuan Kebajikan Saudara Baru Bahagian Serian memohon bantuan dalam kumpulan media sosialnya untuk membela nasib Nek Kalsum.
"Saya bukan sengaja untuk menghebahnya, cuma sebagai saudara baru saya berasa bertanggungjawab membelanya.
"Saya jumpa ketika Ramadan pada program sumbangan di Kuching. Saya menawar diri menghantarnya pulang selesai majlis.
"Sampai depan tempat tinggalnya, saya terkejut. Gelap, panas, sempit dan terlalu daif," katanya mengakui menangis melihat keadaan itu.

Nek Kalsum
Tambah Pengerusi Masjid Miftahul Jannah Kampung Muara Mongkos ini, tanpa berfikir panjang dia membawa Nek Kalsum pulang ke rumahnya.
"Dia tinggal dengan saya, isteri saya tolong mandikan dia, suap dia dan sediakan tilam untuk tidur, biar dia selesa," katanya.
Namun menurut Haji Salman, ada pihak melarang Nek Kalsum tinggal dengan keluarganya dengan alasan dia tiada hak mencampuri urusan penduduk kampung lain.
"Jarak kampung saya dengan tempat tinggal Nek Kalsum sejam lebih, kami tak sekampung sebab itu ... ada pihak di kampung Nek Kalsum yang tak senang hati.
"Niat saya membantu, saya pun orang miskin tetapi sebagai mualaf, saya tidak.mahu Nek Kalsum tersisih kerana Islam itu penuh kasih sayang," katanya.
Haji Salman berkata, beliau berharap ada pihak boleh membantu.menempatkan nek Kalsum dan membuat.kad pengenalannya.
"Takkan susah, sebab dia.ada.rekod peluk Islam, tak payah birokrasi tapi berganding bahu bersama-sama menyiapkan dokumentasi Nek Kalsum," katanya.

Menurut Haji Salman lagi, Nek Kalsum mempunyai seorang anak.
"Saya tidak tahu siapa dan di mana, dia sendiri tak tahu di mana anaknya cuma yang diketahui, anaknya bukan beragama Islam,".jelasnya.
Kata Haji Salman, jjka pun ada bantuan rumah dan keperluan lain untuk Nek Kalsum, ia takkan dapat membantu kerana pada usia begitu, dia perlu penjagaan penuh.
"Jalan terbaik ialah kita mohon jabatan atau agensi berkaitan tempatkan segera dia di rumah orang-orang tua," katanya.