Ternakan kerang dijangka menjadi tumpuan penting Jabatan Perikanan pada masa hadapan dengan Pontian bakal dijadikan hab kerang negara.

Dengan harga kerang boleh mencecah RM30 sekilo, jabatan itu berhasrat untuk memaju dan mengembangkan lagi potensi industri hiliran hasil laut berkenaan sekali gus menjana pendapatan yang lebih lumayan kepada nelayan yang mengusahakannya.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Datuk Munir Mohd Nawi berkata di Johor sahaja, pengeluaran kerang tahun lepas telah mencapai lebih 1,000 tan metrik dengan tiga daerah pengeluar utama iaitu Pontian, Batu Pahat dan Muar dilihat berpotensi tinggi untuk dikembangkan.

"Pengeluar kerang paling tinggi adalah Pontian, oleh itu, kita berhasrat menjadikan Pontian sebagai hab kerang negara berdasarkan kuantiti dan kualiti kerang yang boleh dihasilkan di daerah ini yang cukup memberansangkan.

"Sebagai contoh, kalau kita lihat di Pasar Selayang atau Pasar Borong Puchong, kerang dijual pada harga RM10 sekilo, di Pontian harganya RM3.50 sekilo.

"Kadang kala harga runcit boleh mencecah RM12 sekilo... kerang yang diproses atau isi kerang harganya boleh meningkat tiga kali ganda iaitu RM30 sekilo," katanya kepada pemberita selepas mengadakan Program Santai Bersama Komuniti Nelayan Ayer Baloi di sini, pada Ahad.

Langkah pertama jabatan itu adalah mengawal dan menyelaraskan pengurusan pengeluaran hasil kerang bagi memastikan sumber kerang dapat terus dikeluarkan selain menjaga kualiti pengeluarannya.

"Pendapatan nelayan kerang, jika kena pada musimnya, boleh mencecah sehingga RM1,000 sehari tetapi nelayan juga perlu dikawal kerana ada musim ia boleh tuai, ada musim tidak boleh tuai...jadi, di sini kita memainkan peranan dalam memastikan kelangsungan bekalan kerang terjamin.

"Oleh itu, kita mengambil inisiatif untuk menubuhkan komuniti nelayan yang mempunyai sistem organisasi kuat sekali gus dapat membantu kerajaan merealisasikan impian ini dan membangunkan ekonomi hiliran hasil daripada industri kerang," kata Munir.

Bagi tujuan penyelarasan, katanya, Jabatan Perikanan menetapkan masa untuk mengutip kerang iaitu pada 6 pagi sehingga 6 petang selain mengeluarkan permit mengutip kerang-kerang dewasa kepada nelayan-nelayan.

"Ia perlu dikawal kerana kita tidak mahu nelayan mengutip benih-benih kerang yang belum dewasa dan kita tidak mahu nelayan mengutip kerang-kerang yang mengeluarkan benih, jadi pengurusan dan kawalan amat penting," jelasnya.

Menurutnya antara produk industri hiliran yang boleh dihasilkan melalui hasil laut adalah produk isi kerang dalam tin, kerang bakar, kerang salai, satay kerang dan banyak lagi.

-- BERNAMA