Pergerakan Pemuda UMNO akan melancarkan Klinik Pemuda UMNO Malaysia dalam usaha menyediakan platform untuk orang ramai membuat sebarang bentuk aduan dan kemudiannya menawarkan jalan penyelesaian bagi masalah tersebut.

Aduan boleh dikemukakan terus kepada pegawai bertugas sebelum dimajukan kepada agensi kerajaan terlibat untuk penyelesaian.

Klinik tersebut bertempat di lobi Menara Datuk Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan beroperasi setiap hari Selasa dua minggu sekali dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Portal aduan "For The Rakyat" juga diwujudkan bagi membolehkan masyarakat menyalurkan aduan terus secara online.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, klinik dan portal tersebut akan menjadi jambatan antara rakyat dan kerajaan.

“Pemuda UMNO bukan sekadar menampal poster, konvoi bermotosikal, gerak gempur dan sebagainya, kita lebih daripada itu dan memberi nilai tambah kepada kehidupan rakyat,

‘Kita bantu untuk membawa dan mencadangkan penyelesaian kepada masalah rakyat dan menjadi pelengkap peranan kerajaan,” katanya dalam sidang media di pejabat Biro Aduan Komuniti UMNO di sini.

Klinik dan portal aduan berkenaan akan beroperasi pada 1 Mac nanti dan akan dilancarkan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Mengulas lanjut, portal tersebut menggunakan kaedah "crowdsourcing" yang turut membolehkan pengguna lain memberikan komen serta cadangan kepada aduan.

"Ia secara tidak langsung membolehkan pegawai bertugas mengenalpasti isu yang serius dan segera menyelesaikannya,” katanya.

Tambah Khairul Azwan, orang ramai yang membuat aduan turut diberikan khidmat nasihat guaman percuma dengan bantuan Sukarelawan Peguam Untuk Semua, Sukaguam.