Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan melaksanakan semakan semula kadar pos komersial berkuatkuasa 1 Feb, 2020, dan langkah itu tidak akan menjejaskan rakyat.

Menurut kenyataannya pada Selasa, langkah itu seiring dengan peningkatan kos operasi dan peningkatan struktur kadar antarabangsa oleh Kesatuan Pos Sedunia (UPU), yang mengubah landskap industri pos global dan mendorong Pos Malaysia untuk mentransformasikan sistem pos bagi kecekapan yang lebih tinggi.

Kali terakhir semakan semula kadar pos dilakukan pada 2010.

Melangkah ke hadapan, Pos Malaysia menyatakan ia akan terus menawarkan kadar pos yang berpatutan untuk pengguna mel individu dan pelanggan bukan komersial dengan kadar setem semasa yang bernilai 60 sen.

Kadar pos yang baharu ini hanya melibatkan mel berdaftar, mel komersial dan bungkusan kecil bawah dua kilogram. Menurut Pos Malaysia, jumlah pengguna komersialnya mewakili 95 peratus daripada semua pengguna mel dalam negara dengan hanya lima peratus terdiri daripada pengguna mel individu.