Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) hari ini melancarkan peti pos pertamanya di Gunung Kinabalu, sekali gus mencipta nama dalam 'Malaysia Book of Records' sebagai peti surat yang berada pada altitud tertinggi iaitu 3,289 meter dari aras laut.

Peti pos ke-3,110 itu ditempatkan sejak Ahad lepas di Pendant Hut, Laban Rata, iaitu lokasi yang boleh dihubungi melalui pendakian selama empat hingga enam jam dari Taman Kinabalu, iaitu pintu masuk utama ke Gunung Kinabalu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata kedudukan peti pos itu menjadikannya setanding dengan peti surat di Gunung Fuji, Jepun dan Jungfrau di Pergunungan Swiss, Switzerland.

"Dengan adanya peti pos ini membolehkan pendaki Gunung Kinabalu berkongsi pengalaman mereka bersama keluarga dan rakan menerusi kiriman poskad dengan cap pos khas dan logo Malaysia Book of Records, selain disimpan untuk kenangan peribadi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan peti pos itu, di sini.

Beliau berkata peti pos itu akan menjadi antara tarikan baharu untuk pelancong selain dapat terus mempromosi Gunung Kinabalu dalam bentuk poskad atau cop pos khas.

Justeru, Jailani mencadangkan supaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Pos Malaysia untuk memperluas inisiatif pos pelancongan seumpama itu di kawasan pelancongan utama di seluruh negara pada masa akan datang.

"Poskad atau cop pos yang disediakan boleh dijadikan sebagai bahan koleksi terutama oleh para penggemar filateli," katanya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Azlan Shahrim berkata inisiatif ini memberi pengalaman unik dan menarik kepada pendaki dan pelancong dengan menghantar poskad atau surat dari Gunung Kinabalu.

Beliau berkata cap dakwat khas yang memaparkan lukisan Gunung Kinabalu dan aras ketinggiannya boleh diperoleh di Pejabat Pos Ranau sebagai cap pembatalan setem pengeposan.

Azlan berkata seorang posmen akan ditugaskan untuk memungut surat dan poskad dari peti pos itu pada pukul 12 tengah hari pada setiap hari bekerja.

"Surat dan poskad yang dipungut kemudian dikumpulkan dan dibawa oleh sebuah van Pos Malaysia yang berulang alik dari pejabat Mountain Torq, sebuah ejen berlesen Pos Malaysia pada pukul 10 pagi hari berikutnya untuk diproses di Pejabat Pos Ranau," katanya.

Sementara itu, Pengurus Operasi Mountain Torq, Podyfred Kaingan berkata pihaknya tidak menyangka memperoleh lebih 100 poskad pada hari pertama peti pos itu ditempatkan di Pendant Hut.

"Ini kerana, di atas hanya boleh menampung kurang daripada 200 pelancong pada satu-satu masa, namun, semasa peti pos ini dibuka pada Ahad lepas, banyak pelancong datang ke Pendant Hut (untuk membuat kiriman poskad)," katanya.

Kaingan, 35, berkata beliau dan rakan setugas lain akan bergilir-gilir membawa dan menyerahkan poskad serta surat kepada wakil Pos Malaysia memandangkan Mountain Torq adalah pengelola peti pos itu.

"Saya mengambil masa selama sejam untuk membawa poskad dari peti pos di Pendant Hut turun ke bawah seterusnya diserahkan kepada Pos Malaysia sebelum dihantar ke Pejabat Pos Ranau," katanya.