Penggubalan Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 mengambil kira hak asasi manusia, persidangan Dewan Rakyat diberitahu Isnin.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata perkara itu boleh dilihat apabila rang undang-undang tersebut tidak menafikan pelbagai hak mereka yang ditahan di bawah undang-undang itu termasuk untuk memaklumkan alasan tangkapan dan hak untuk menemui waris serta mendapatkan khidmat peguam pilihan masing-masing.

"Saya memberi jaminan rang undang-undang ini telah mengambil kira hak asasi manusia yang perlu diberikan keutamaan sepenuhnya," katanya ketika membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali kedua.

Beliau berkata pihaknya turut memberi jaminan bahawa rang undang-undang tersebut tidak akan disalah guna oleh pihak berkuasa.

Katanya POTA tidak sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dengan kuasa eksekutif menteri akan diambil alih oleh sebuah lembaga yang dilantik Yang di-Pertuan Agong.