Beberapa elemen di dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) harus dimasukkan ke dalam Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 agar kuasa polis tidak terhad kepada beberapa peruntukan sahaja.

Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan berkata, ia termasuk memasukkan semula undang-undang menghukum mana-mana pihak yang melakukan kegiatan sabotaj dan subversif.

"Kita menyokong POTA kerana ia merupakan undang-undang pencegahan keganasan namun ada beberapa subjek di dalam ISA yang dapat mengawal tindakan pihak tertentu yang merosakkan keamanan.

"Ada peruntukan di dalam POTA yang mengehadkan kuasa polis sekali gus menjadikan agensi keselamatan itu seolah-olah tidak ada gigi.

"Semua negara ada ISA atau berunsur akta itu, ia menjamin keamanan negara masing-masing. Jika ISA apabila wujud keterangan seseorang terlibat dalam keganasan, individu yang membuat keputusan adalah menteri namun POTA akan dikawal panel," katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Musa mengulas rang Undang-undang POTA yang diluluskan di Dewan Rakyat pada awal pagi Rabu setelah perbahasan mengenainya mengambil masa sehingga 12 jam apabila pihak pembangkang terus menekankan tanggapan ia sama seperti ISA.

Ia termasuk peruntukan bahawa tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan semata-mata atas 'kepercayaan politik atau aktiviti politik'.

Undang-undang itu turut menjelaskan 'kepercayaan politik atau aktiviti politik' ertinya penglibatan dalam aktiviti yang sah di sisi undang-undang melalui pernyataan pendapat atau pengambilan tindakan yang dibuat mengikut rukun sesuatu parti politik yang pada masa yang berkaitan itu berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Dalam pada itu kata Musa, kuasa POTA juga tidak menahan seseorang suspek sebelum mendapat kelulusan panel untuk sesuatu keputusan.

"Ia berbeza dengan ISA yang menjaga mana-mana kegiatan subversif atau usaha terancang untuk menjatuhkan kerajaan. ISA sebenarnya sudah lengkap untuk menjaga keamanan negara," jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya penguatkuasaan Akta Hasutan terutama di media sosial, ini katanya,

"Bagi saya Akta Hasutan ini tadi ada pengecualiannya juga, bukan semua perkara itu menjadi hasutan, kita kena tengok niat orang memberitahu itu.

"Jika jujur hendak beritahu, itu bukan hasutan, saya rasa
yang paling penting kita lihat apa tujuan perkara itu diungkapkan dan kita perlu memberi nasihat tertentu.

"Ia termasuk kepada mereka yang merasakan bahawa perkara itu tadi terlampau sensitif yang membuatkan lain-lain pihak rasa tidak puas hati kepada lain-lain pihak, kita boleh beri nasihat terlebih dahulu," jelasnya.

Ujarnya, di dalam Akta Hasutan ada pengecualian dan bukan semuanya merupakan hasutan.