Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menafikan dakwaan kononnya membantu membebaskan "Doktor Gigi Palsu" yang didenda RM70,000 kerana didapati menjalankan perniagaan memasang pendakap gigi secara haram baru-baru ini.

Ketua aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata PPIM tidak pernah menyokong atau mengiktiraf tindakan individu yang boleh mengundang risiko kepada golongan pengguna di negara ini.

Oleh itu, beliau kesal dengan dakwaan itu yang menurutnya telah mengundang salah faham sehingga menjadi kecaman dalam kalangan netizen.

"Netizen termasuk golongan profesional seperti doktor gigi bertauliah menuduh PPIM membantu membebaskan individu tersebut yang hanya mempelajari kaedah pemasangan pendakap gigi dari YouTube...seolah-olah merendahkan martabat dan menghina usaha mereka (doktor gigi) yang perlu bertungkus-lumus mendapatkan kelayakan dalam bidang pergigian.

"PPIM hanya berperanan memberikan khidmat nasihat kepada pihak keluarga dan peguam "Doktor Gigi Palsu" itu yang datang berjumpa dengan PPIM selepas hukuman dijatuhkan kepada individu berkenaan," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

BACA: Kementerian Kesihatan nafi sokong peniaga pendakap gigi palsu

BACA: Kami bantu sebab kasihan, bukan gila seks! - Wakil Dragon76

Nadzim berkata pihaknya juga tidak terlibat dalam mencari dan mengumpulkan sebarang dana atau mempromosikan 'fundraising' sehingga mencecah RM70,000, sebaliknya ia adalah hasil kutipan yang dilakukan oleh Pertubuhan Penggerak Ekonomi Islam Malaysia (PPEIM).

Beliau mengulas mengenai dakwaan netizen di media sosial yang mengaitkan PPIM dengan pembebasan seorang wanita yang telah dijatuhi hukuman denda kerana menjalankan perniagaan memasang pendakap gigi secara haram.

Pada 29 Sept lalu, seorang lulusan Kolej Vokasional Nur Farahanis Ezatty Adli, 20, didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh, Melaka selepas dia mengaku salah menjalankan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 di Bakti Homestay, Jalan Bukit Katil pada 10.15 malam, 25 Jan lepas.

-- BERNAMA