Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) merangkumi tempoh 2013 hingga 2025 akan berjaya dicapai jika semua pihak memberikan komitmen dan dedikasi yang tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak.

Beliau berkata pelan yang merangkumi visi sistem pendidikan itu akan memenuhi aspirasi semua pihak termasuk pelajar, tenaga pengajar, ibu bapa dan negara.

"Komitmen dan dedikasi kita bersama akan menunjang kejayaan Pelan Pembangunan Pendidikan ini," menurutnya dalam laman Facebook beliau hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan PPPM yang merupakan manifestasi transformasi kerajaan paling menyeluruh dan paling besar dalam mendatangkan pulangan terbaik modal insan untuk memacu segala hasrat pembangunan negara.

Pelan itu dihasilkan demi masa depan anak-anak Malaysia yang merupakan harta yang tidak ternilai bagi bumi tercinta ini kerana di tangan merekalah kemajuan negara akan dipertaruhkan.