Tutup

PPS Dewan Orang Ramai di Kampung Sungai Rokam ditutup

PPS Dewan Orang Ramai di Kampung Sungai Rokam ditutup
Seramai 26 mangsa banjir daripada sembilan keluarga dipindahkan ke PPS itu malam tadi. - Foto ihsan JBPM
IPOH: Kesemua mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Dato' Ahmad Said Kampung Sungai Rokam di sini dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pagi ini berikutan banjir surut sepenuhnya.

Pegawai Daerah, yang juga Pengerusi Bencana Daerah Kinta, Haliza Sipun dalam kenyataan hari ini berkata, mangsa dibenarkan pulang setelah pemeriksaan kesihatan dilakukan ke atas mereka dan PPS itu ditutup pada pukul 9.30 pagi ini.
"Terima kasih di atas kerjasama semua agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Penghulu dan lain-lain jabatan yang bertungkus-lumus membantu dalam pengurusan mangsa banjir dengan baik," katanya.

Seramai 26 mangsa banjir daripada sembilan keluarga dipindahkan ke PPS itu malam tadi apabila hujan lebat petang semalam menyebabkan banjir kilat di kawasan kampung berkenaan.
Cuaca di daerah Kinta kini dalam keadaan baik dan hujan telah berhenti sepenuhnya pada malam tadi.

-- BERNAMA