Seramai 18 mangsa banjir dari enam keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Sivik Alor Lintang di sini terpaksa dipindahkan ke lokasi lebih selesa dan selamat selepas pusat berkenaan berisiko dinaiki air.

Kesemua mangsa, termasuk bayi berusia enam bulan, berpindah ke kawasan selamat yang mempunyai kemudahan lengkap, di PPS Sekolah Kebangsaan Amer.

Penaung Kelab Budiman Sejahtera Terengganu Datuk Dr Mohd Johari Mohammad berkata, mangsa dipindahkan dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia pada petang Ahad.

"Kami dapati di dewan serbaguna tersebut, prasarana dan kemudahannya perlu dibaiki. Ia tidak mampu untuk menampung kegunaan mangsa-mangsa banjir di sana.

"Jadi, kami buat keputusan untuk memindahkan mereka ke SK Amer. Kami dapat kebenaran dari Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat dan mereka juga bekerjasama," Mohd Johari.

Pada masa sama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutama di Terengganu disaran menyertai program kebajikan yang dianjurkan bagi meringankan beban mangsa serta petugas banjir.

"Kami alu-alukan penyertaan NGO setempat. Ada banyak NGO setempat, jadi saya mohon mereka tampil bersama kami. Kami juga menjaga kebajikan anggota-anggota kita, iaitu anggota penyelamat," tambahnya.

Di Besut, kira-kira 1,600 mangsa dari 427 keluarga ditempatkan di 40 PPS.

Terengganu merekodkan 5,237 mangsa dari 1,511 keluarga yang ditempatkan di 111 PPS membabitkan tujuh daerah.